Minyak dijangka turun lagi! Satu lagi berita yang memang menggembirakan seluruh rakyat Malaysia. Waktu minyak dijual pada harga RM2.70, siapa yang tak mengeluh? Boleh dikatakan hampir setiap hari semua orang bercakap pasal harga minyak yang disifatkan keterlaluan. Apa yang membimbangkan semua orang pada masa itu ialah kenaikan harga barang. Harga minyak naik, harga barang pun ikut naik. Nak tak nak, semua orang kena terima sebab peniaga ada alasan untuk menaikkan harga barang. Kita terpaksa akur dengan kehendak peniaga. Persoalannya, sampai bila? Kerajaan prihatin. Sebaik sahaja harga minyak dunia jatuh, harga petrol dan diesel turut diturunkan secara berperingkat sehinggalah sampai pada harga RM1.90 seliter. Kuranglah beban rakyat. Dengar cerita terkini, harga minyak mungkin akan diturunkan lagi tetapi tidak pasti sebanyak mana. Siapa yang tak suka dengan penurunan harga minyak yang kini menjadi keperluan asas kepada semua orang? Beban harga minyak selesai juga akhirnya. Apa lagi alasan peniaga yang masih degil tak mahu turunkan harga barangan? Sebagai pengguna, bukan kita sahaja yang kecewa dengan harga barang yang tak turun-turun tetapi kita percaya semua orang menyimpan perasaan yang sama. Hak kita sebagai pengguna sewenang-wenangnya ditindas hingga kita tak mampu berbuat apa-apa. Bercakap pasal hak, ketika kita pergi berbelanja di sebuah pasar raya di Cheras minggu lalu, bertemulah kita dengan seorang mak cik yang berusia sekitar 60 tahun secara tidak sengaja ketika duduk di sebuah warung untuk minum cendol mamak. Sambil mengesat peluh dengan lengan bajunya, dia mengeluh harga barang yang terlalu mahal. "Telur satu papan dah dekat RM10. Ikan kembung bodoh dah merah mata pun macam tu jugak harganya. Tak melampau ke harga macam tu? "Bilalah agaknya barang-barang ni akan turun harga? Mak cik bawa RM50 dapat beli tiga barang je dengan beras," katanya kepada mamak cendol sambil meneguk minuman yang dipesan. Kita tak menyampuk tetapi dari raut wajah mak cik tu, jelas menunjukkan kebimbangannya. Kita tak bertanya apakah sumber pendapatannya tetapi daripada perbualannya dengan mamak cendol, hidupnya ditanggung oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mungkin dia tidak ada anak atau mungkin juga anak-anaknya juga daripada golongan kurang mampu. Membeli di pasar raya bukan kemahuannya tetapi katanya, harga di situ murah sedikit daripada kedai runcit. "Kedai runcit depan rumah mak cik jual mahal. Kalau di sini RM10, di sana RM12. Biarlah jauh sikit mak cik berjalan asalkan hati puas kerana mak cik berhak dapat yang murah. "Sebenarnya hati mak cik tak pernah puas tetapi kalau tak beli, mak cik nak makan apa sebab memang dah harganya begitu?" katanya lagi. Mamak cendol hanya menganggukkan kepala. Sepatah pun tak dijawab. Sebelum berlalu, mak cik itu menghulurkan duit cendol yang diminum tetapi mamak yang mulia hati tu menolak untuk menerimanya. "Semoga Tuhan murahkan rezeki kau nak," kata mak cik tu sambil berlalu pergi. Mamak cendol tersenyum. Kita pun ikut tersenyum sebelum membayar minuman yang tidak ditolak oleh mamak cendol! Harga cendol ialah RM2 sedangkan sebelum ini cuma RM1.20. Kita belum bertanya tetapi mamak cendol dapat membaca isi hati kita yang terkejut. "Santan sudah mahal sekarang bang," katanya selamba. Apa lagi yang tak mahal? Itu kata dalam hati kita. Kalau dulu, sebelum harga minyak naik, telur satu papan cuma sekitar RM7. Ikan kembung bodoh tak sampai RM5 satu kg. Belum lagi ikan lain dan sayur. Sekarang, semuanya naik dua kali ganda. Tidak ada satu barang pun yang dijual pada harga minyak lama. Padahal, alasan harga minyak naik dah tak boleh pakai lagi, tetapi itulah rencah kehidupan peniaga hari ini.Peniaga memang tak berhati perut
PATA Gold Awards Winners 2024
5 months ago
0 comments:
Post a Comment